Sayup bening di kaki langit
Fajar Syawal muncul kembali
tanda Ramadhan sudah
pamit untuk pulang!
Wahai Tuhan
ini adalah hari kemenangan
dalam sebuah perang nafsu
yang tidak pernah sirna
Ayuh aduhai taulan
marilah kita raikan saat kejayaan
dalam pintalan ukhuwah yang erat
menghulur tangan maaf dipohon
tanda kita saudara seagama
tak pernah berbeza
hanya amal dan taqwa
menjadi pemisahnya!
Pulanglah si perantau
kerana ayah bonda
sudah amat merindu
lupakanlah sengketa lalu....
kerana harga kerinduan sepasng mata tua
nan tidak pernah jemu menantimu di sana
usah biarkan mereka melakar duka dalam rebas air mata!
Garaplah purnama Syawalmu kali ini dalam seribu erti
kerana yang jauh sudah mula merepat kembali
dan yang dekat sudah kian mesra menaut rasa
sesungguhnya Syawal punya agenda istimewa
untuk disemat dalam kenangan
dalam larikan mimpi yang tidak pernah pudar!
Salam munajat yang kian panjang
sering ditadah doa agar amal terus diterima-Nya
kerana belum pasti Syawal
dapat menjengah diri
pada musim datang kembali....
Wahai Tuhan Rabul Izzati
Kau makbulkan munajat kami
agar Syawal ini adalah detik mula
bahawa esok adalah cahaya jaya
buat menambah amalan bekalan
untuk aku pulang ke negeri abadi
kerana hidup itu
sempadannya adalah MATI!
(Dipetik dari Majalah Anis, terbitan Oktober 2008)
No comments:
Post a Comment